Kefahaman yang silap: Meletak Islam hanya di dalam formaliti
Kesilapan terbesar kita adalah apabila kita merasakan bahawa kita telah menggerakkan Islam secara menyeluruh, hanya dengan kita ini banyak menyertai program-program Islami.
Kita banyak mengikuti program, kita ada waktu usrah, kita ada ijtima’ kita, kita ada majlis-majlis yang dibuat bersama dengan ‘circle’ kita. Maka kita rasa: Aku telah menghidupkan Islam.
Tanpa kita sedari, semua perasaan tadi muncul hanya kerana kita melaksanakan Islam di dalam formaliti. Pada satu perkara yang mempunyai penamatan masa, dan hanya berlaku pada waktu tertentu, tempat tertentu.
Sedangkan, Islam itu adalah setiap masa. Tiada satu saat pun yang kita boleh menjadi ‘bukan Islam’ sebenarnya. Islam itu mencakupi semua.
Maka apakah tepat sekiranya kita menyatakan bahawa kita adalah seorang muslim mukmin yang baik, hanya kerana keterlibatan kita di dalam formaliti?
Bagaimana kita dalam waktu-waktu informal?
Waktu-waktu biasa tanpa program atau acara?
Waktu-waktu biasa, tika bersama adik-adik dan keluarga, tika bersama kawan-kawan, tika sendirian?
Islam itu setiap masa. Tanggungjawab kita sentiasa
Sekiranya kita ini benar-benar serius mengangkat Islam sebagai cara hidup, maka hakikatnya kita perlu mengangkatnya 24/7 dalam seluruh kehidupan kita. Bukan hanya di program-program.
Islam itu sendiri bukan satu program persatuan@kelab, yang mempunyai waktu tertentu, masa tertentu, tempat tertentu. Islam itu sepanjang waktu.
Maka Muslim Mukmin yang sebenar, akan kekal dengan komposi Islaminya dalam seluruh kehidupannya.
Saya tidak berapa hendak menyatakan hal seperti: “Dalam program jaga syara’, luar program tak jaga.” Bukan. Pada saya isu itu sepatutnya semua makruf. Semua tahu di dalam dan di luar program, tetap syara’ itu perlu dijaga.
Tetapi saya hendak mengajak pembaca melihat lebih dari itu.
Yakni semangat dan kerseriusan kita.
Biasanya, di dalam program Islami, di dalam usrah dan sebagainya, kita berdentam dentum hebat berbicara akan Islam, bila ada program-program, kita keras berusaha dan bersemangat sentiasa sepanjang waktu program. Kita hendakkan program itu berjaya, kita hendakkan program itu cemerlang.
Maka, persoalan di sini, apakah keseriusan dan semangat itu hidup dan kekal selepas tamat program-program? Apakah wujud keseriusan dan semangat itu di dalam kehidupan kita?
Keseriusan dan semangat hendak membumikan Islam 24/7 dalam kehidupan kita.
Maka jangan melayan Islam seakan ia adalah program kelab@persatuan
Jangan kita nampak bahawa Islam itu satu formaliti. Tetapi Islam itu perlu kita lihat sebagai satu tatacara hidup. Apabila kita melihatnya sebagai tatacara hidup, sepatutnya kita faham ia perlu berjalan sepanjang kehidupan kita.
Maka kita perlu serius dan bersemangat menghidupkan Islam dalam segenap keidupan kita. Bukan di kala tertentu, bukan pada tempat tertentu, bukan untuk satu jangka masa tertentu. Bukan da bukan.
Bukan di masa program sahaja kita semangat berbicara akan Islam, bukan di dalam usrah sahaja kita hendak berbicara akan Islam, bukan semasa event-event tertentu sahaja kita hendak bekerja untuk Islam.
Sepatutnya, setiap gerak langkahan kita, setiap saat dan waktu kita, semua itu kita lalui dengan keseriusan dan semangat hendak melaksanakan Islam, dan meluaskannya.
Kefahaman inilah, yang akan melahirkan satu kekuatan.
Kekuatan dalam merealitikan Islam sebagai cara kehidupan.
Penutup: Kefahaman ini, kefahaman yang perlu ditanam
Pada saya, apabila kita memahami perkara ini, ia akan menjadikan diri kita lebih sensitif dan peka terhadap Islam itu sendiri. Kita akan melihat betapa Islam itu besar dan bukan boleh digerakkan sambil lewa bermain-main.
Islam adalah sesuatu yang besar, yang perlu digerakkan dengan bersungguh-sungguh.
Sesungguhnya, kemuliaan dan kekuatan itu, tidak akan sesekali datang dalam keadaan bergolek.
artikel ini dicopy paste dri laman web Hilal Asyraf.artikel ini menarik krana ana merasakan masalah ini sering hadir dalam kalangan daie.sekadar perkongsian dan muhasabah juga buat diri ana..
nice note ;)
ReplyDeletenota abg Hilal klu xslp...
ReplyDelete